Mohd Solihan Badri

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mencari jalan segera bagi menangani isu pelajar  institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpaksa meninggalkan kampus kerana kekangan kewangan sekaligus tidak mampu membiayai yuran pengajian serta perbelanjaan harian mereka.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Johor, Mohd Solihan Badri berkata, bantuan kewangan mahupun material kepada pelajar terlibat dapat menyelamatkan masa depan dan potensi mereka daripada tercicir atau sia-sia.

Sungguhpun begitu, beliau berkata, membiarkan isu tersebut berlarutan bakal merugikan negara dari aspek ketirisan bakat dan sumber manusia bahkan, kepakaran sekiranya mereka gagal menamatkan pengajian seterusnya masuk ke alam pekerjaan.

“Kami yakin jumlah sebenar pelajar tercicir mungkin lebih ramai berbanding laporan 30,000 pelajar di universiti awam yang gagal menamatkan pengajian ketika pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021 seperti diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Julai lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Solihan, secara amnya, pelajar yang terlibat bukan sahaja dari universiti awam bahkan, universiti dan pelbagai IPT swasta termasuk kolej universiti, kolej, pusat kemahiran teknikal serta institut latihan vokasional.

Mereka bukan sahaja gagal melunaskan yuran pengajian malah, tidak mampu membayar deposit rumah sewa, tiada wang membeli makanan serta gagal membayar sewa bulanan dan kos pengangkutan, katanya.

Disebabkan itu beliau berkata, pelajar terbabit dibebani pelbagai kos sara hidup yang tinggi khususnya bagi kampus di Lembah Klang.

“Justeru, PN Johor mendesak KPT memberi perhatian isu ini kerana tindakan kementerian itu dan universiti kalau setakat membuat kajian bagi mengenal pasti puncanya adalah tidak makna atau akan menyelesaikan masalah tersebut, kecuali jika ada tindakan proaktif.

“PN Johor juga khuatir ramai pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal menyambung pengajian ke IPT kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran manakala biasiswa pula lewat diluluskan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Solihan menyarankan supaya KPT berunding dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mencari kaedah pembiayaan segera atau mengambil tanggungjawab membantu kewangan pelajar terlibat memandangkan prestasi institusi itu mengutip bayaran balik kebelakangan ini adalah tinggi.

Tambahnya, ketika dipengerusikan oleh Datuk Wan Saiful Wan Jan sebelum ini, PTPTN merekodkan prestasi kutipan bayaran balik yang  memberangsangkan dan sebahagian dana itu boleh disalurkan kepada pelajar yang memerlukan yang rata-ratanya adalah Melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast