MANILA – Filipina telah mengeluarkan amaran kecemasan yang melampau ketika Taufan Super Noru semakin menghampiri negara ini.
Ribut yang dikenali sebagai Taufan Super Karding dalam kalangan penduduk tempatan mencapai status taufan super pada awal pagi Ahad selepas ia tiba-tiba bertambah kuat.
“Protokol persediaan dan tindak balas kecemasan tertinggi telah diaktifkan di Metro Manila, Luzon Tengah, Calabarzon, Mimaropa dan wilayah Bicol,” kata Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan.
Ia menggesa orang ramai untuk berhati-hati kerana angin kencang dijangka melanda dalam tempoh 18 jam akan datang.
Taufan ini dijangka mendarat di bahagian utara Quezon atau bahagian selatan Aurora pada waktu petang, kata Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (PAGASA) secara langsung di televisyen setiap jam.
Ia tidak menolak taufan itu mungkin mendarat awal di Kepulauan Polillo pada sebelah petang.
Sebagai persediaan, sesi persekolahan di beberapa bandar termasuk Bandar Muntinlupa dan Aurora telah ditangguhkan esok.
Menurut CNN Weather, taufan Noru kini mempunyai angin yang sama dengan taufan kategori 5 di Amerika Syarikat.
Ia dijangka membawa ombak besar dan gelombang ribut, hujan lebat dan angin melebihi 200 kph ke Luzon dalam tempoh 24 jam akan datang.
PAGASA turut mengeluarkan amaran untuk Kepulauan Polillo dengan menjangkakan kerosakan besar yang mungkin disebabkan oleh ribut itu.
Pada hari ini, PAGASA juga telah mengeluarkan isyarat amaran tahap empat untuk Kepulauan Polillo dengan menjangkakan kerosakan yang meluas dan amaran tahap dua dan tiga untuk sebahagian besar Luzon, termasuk metro Manila. – Agensi