shahrir samad src majlis peguam
Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin dibidas supaya lebih konsisten dalam membuat kenyataan supaya nampak sifat kepimpinannya.

Sindiran tajam itu dibuat oleh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad selepas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengisytiharkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh Perikatan Nasional (PN).

Menurut Shahrir, BN diisytihar sebagai musuh utama PN tapi pemimpin-pemimpin gabungan itu termasuk Pas masih duduk dalam Jemaah Menteri.

Oleh itu, Shahrir mencabar Muhyiddin supaya ‘tekan butang atau pull the plug‘.

“Tapi demi jawatan dan kuasa…,” sindirnya.

Muhyiddin turut ditempelak kerana beliau tidak pula menolak ke tepi sokongan ahli-ahli Parlimen BN semasa ‘Langkah Sheraton’ bagi membolehnya dilantik sebagai Perdana Menteri.

”Mereka yang PPBM panggil ‘kluster mahkamah’ – Pekan, Bagan Datuk, Putrajaya, Baling, Pontian – walaupun dicemuh, diterima pula sokongan mereka. Pasal jawatan dan kuasa kan,” ujar beliau.

Shahrir menegaskan, jatuhnya Muhyiddin daripada jawatab Perdana Menteri bukan hanya kerana ahli-ahli Parlimen UMNO dan dua menteri UMNO tarik sokongan, tapi kerana DAP juga tak setuju memberi sokongan sebagai balasan memenuhi tuntutan mereka.

Disebabkan itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat perjanjian dengan PH tentang perkara yang sama.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin semalam bahawa BN adalah musuh utama gabungan itu yang perlu dilawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Justeru itu, Presiden Bersatu itu berkata, PN perlu bergerak sebagai satu pasukan dan memiliki hala tuju yang sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

“Kita dalam PN sudah ada kesepakatan, antara perkara disepakati ialah saya nak sebut di sini, bahawa musuh utama kita tidak lain adalah BN,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-6 Bersatu semalam di Putrajaya.

Kenyataan Muhyiddin dilihat berbeza dengan Pas yang sebelum ini menjelaskan musuh parti itu dalam PRU15 adalah PH, bukannya UMNO dan BN.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dipetik berkata, atas dasar itu, Pas terus mempelawa supaya kerjasama dengan UMNO diteruskan dalam menghadapi PRU15 bagi memastikan sebuah kerajaan stabil dapat dibentuk jika mereka berjaya menang pilihan raya. – MalaysiaGazette