Mohd. Izani Mohd. Zain

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya memberi ‘amaran’ kepada Pas supaya tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Lantaran itu, PresidenParti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengingatkan supaya parti-parti komponen dalam PN tidak mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan serta mengumumkan bahawa BN sebagai musuh utama gabungan itu yang perlu dilawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu adalah peringatan tegas oleh Muhyiddin kepada Pas yang tidak mahu parti itu mengadakan sebarang hubungan dengan UMNO/BN termasuk dalam Muafakat Nasional (MN).

“Saya rasa itu sebagai perang saraf yang saya nampak nak ditujukan kepada Pas sebenarnya.

“Secara tidak langsung maksudnya Pas kena fahamlah dalam PRU akan datang mereka tak boleh bersama langsung dengan mereka (UMNO/BN).

“Bila Pas adakan kerjasama dengan UMNO bermaksud mereka adakan kerjasama dengan BN…itu yang Muhyiddin tak nak,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin pada Majlis Ulang Tahun Bersatu ke-6 semalam apabila menyebut musuh utama parti pimpinannya adalah BN pada PRU akan datang.

Bekas Perdana Menteri itu menambah, parti komponen dalam PN perlu bergerak sebagai satu pasukan dan memiliki hala tuju yang sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata, Bersatu kini sudah diibaratkan sebagai “abang besar” dalam gabungan PN dan parti-parti komponen yang menyertainya harus tunduk dengan kemahuannya.

Justeru beliau berkata, parti-parti yang berada dalam gabungan PN perlu berfikir sama ada pada masa ini mereka sesuai untuk kekal dalam gabungan itu atau memilih langkah sebaliknya.

Dalam pada itu, Mohd Izani berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Muhyiddin akan mendapatkan kata putus daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai kedudukan parti itu dalam pertemuan empat matanya minggu depan.

Katanya, Muhyiddin mahu mendapatkan pengesahan sama ada erdapat pertemuan antara Presiden Pas itu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa lalu selepas mendapat makluman mengenai perkara tersebut menerusi media yang merupakan pihak ketiga. – MalaysiaGazette