Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

TAWAU – Parti Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan meletakkan calon di lima buah negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Johor menjadi sasaran parti itu apabila Parlimen dibubarkan kelak.

“Itu antara negeri-negeri yang kita sudah putuskan untuk bertanding, bukan semuanya,” katanya kepada pemberita.

Beliau hari ini menghadiri majlis beramah mesra bersama masyarakat Kawasan Parlimen Kalabakan di Kampung Murut, Ulu Kalabakan, dekat sini.

Warisan yang bertapak di Sabah mula menguji kekuatan parti itu di Semenanjung Malaysia pada Pilihan Raya Negeri Johor yang diadakan pada Mac lepas.

Parti itu mempertaruhkan calon-calonnya di enam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun tidak ada satu pun daripada kerusi berkenaan dimenangi oleh Warisan.

Dalam pada itu menurut Sinar, Shafie mahu kerusi Parlimen Kalabakan yang disandang oleh wakil rakyat parti itu, Ma’mun Sulaiman kekal menjadi milik Warisan pada PRU-15.

“Insya-ALLAH kita pastikan ia kekal dan kita berusaha. Saya sudah maklumkan dengan kepimpinan kita jangan terlalu selesa sangat, turun ke bawah rayu undi sehingga ke penghujungnya,” katanya.

Shafie yang dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah selepas Pakatan Harapan berkuasa pada PRU-14 berjanji akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk jika Warisan mendapat mandat daripada rakyat.

Jelasnya, hampir 10,000 hektar tanah di Kalabakan dikenal pasti sebagai kawasan pertanian.

Parlimen itu mampu menjadi sebahagian daripada rancangan jaminan makanan bukan sahaja untuk Malaysia tetapi rantau Asia Tenggara.

“Ini kerana tanah di kawasan Kalabakan ini subur, sesuai untuk kita tanam pelbagai tanaman bagi menjamin bekalan makanan.

“Jadi saya melihat jika perkara ini dapat dilaksanakan, mereka (penduduk) tidak perlu berhijrah ke tempat lain untuk mencari pekerjaan kerana sudah ada kerja di sini,” katanya.-MalaysiaGazette