Mohd Rafiq

MELAKA – Tidak salah untuk Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan minat beliau untuk kembali dilantik menjadi Perdana Menteri bagi kali ketiga kata Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Menurutnya, semua pemimpin parti termasuk bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu mempunyai hak untuk menawarkan minat sebagai pemimpin negara, namun keputusan akhirnya terletak di tangan rakyat.

Namun jelasnya, kata Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu, sewajarnya juga perlu memikirkan tahap kesihatannya untuk menerajui negara kerana sering terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

“Tak salah untuk Tun Dr Mahathir tawarkan diri minat beliau (menjadi perdana menteri kali ke tiga)…namun tanpa menidakkan rasa hormat saya kepada Tun, saya mohon kalau boleh berilah laluan kepada calon-calon lain yang lebih muda.

“Kita tahu tahap kesihatan Tun sering mencemaskan bukan sahaja penyokong parti beliau tapi rakyat Malaysia… (apabila) banyak kali Tun terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan kesihatannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Futsal Parlimen Tangga Batu di Kompleks Sukan Batu Berendam di sini hari ini.

Semalam, Tun Dr Mahathir memaklumkan beliau sedia untuk kembali dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya terus menerima desakan dan tiada calon lain yang bersesuaian.

Ahli Parlimen Langkawi itu bagaimanapun berkata, jika difikirkan mengenai kedudukannya, beliau lebih suka berehat sambil berperanan sebagai pakar rujuk atau penasihat.

“Itu saya boleh buat, tetapi kalau ada desakan demi desakan datang sehingga tidak ada orang lain (yang layak jadi perdana menteri), saya terimalah.

“Tetapi, tidak bolehlah sampai lima tahun. Mungkin satu tahun sahaja,” katanya dipetik menerusi program Hard Talk GTA di Pusat Konvensyen Bangi, semalam,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Rafiq yang juga bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka berkata, sebagai pemimpin negara yang hampir 24 tahun menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir seharusnya membenarkan pemimpin muda meneruskan perjuangannya.

“Saya yakin kalau beliau beri peluang, banyak calon-calon muda yang lain boleh lakukan yang terbaik untuk menerajui negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Tun dah pimpin negara kita selama 22 tahun dan kemudian 22 bulan…saya yakin rekod Tun itu berkemungkinan takkan boleh dipecahkan oleh mana-mana pemimpin politik dalam negara,” katanya. – MalaysiaGazette