Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Sebanyak 595 kes demam denggi dilaporkan di negeri ini sehingga 24 September lalu, meningkat 93.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ma’arof Sudim berkata, jumlah kes pada tahun ini lebih rendah berbanding jumlah kes sebelum pandemik Covid-19, penurunan sebanyak 26.2 peratus pada tahun 2020 (806 kes) dan 83.4 peratus (3,574 kes) pada tahun 2019.

Ia menunjukkan penurunan sebanyak 26.2 peratus pada tahun 2020 iaitu sebanyak 806 kes dan 83.4 peratus pada 2019 (3,574 kes).

“Kejadian wabak denggi yang dilaporkan sehingga 24 September lalu adalah sebanyak 42 wabak, berbanding dengan tujuh wabak pada tempoh sama bagi tahun 2021.   

“Daripada jumlah itu, sebanyak 33 wabak sudah tamat manakala sembilan lagi masih aktif,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Ma’arof berkata, aktiviti kawalan dan pencegahan sudah dijalankan bagi semua kes serta wabak denggi yang dilapor bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Antaranya melakukan aktiviti kawalan vektor yang membabitkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan bagi setiap kejadian kes tunggal atau wabak.

Aktiviti pencegahan juga dipertingkatkan di lokaliti keutamaan dan berisiko di seluruh Pulau Pinang,” kata beliau.

Tambah Ma’arof, sehingga 24 September lalu, sebanyak 312,711 premis  sudah diperiksa dan 445 kompaun dengan nilai RM222,500 dikeluarkan kepada pemilik yang dikesan pembiakan aedes.

Tindakan itu dibuat mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 [Akta 154].

Menurut beliau, bagi memastikan penyakit demam denggi tidak terus merebak dan mengancam kesihatan penduduk  Pulau Pinang, seluruh lapisan masyarakat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab  termasuk membersihkan kawasan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di premis masing-masing setiap minggu. – MalaysiaGazette