Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar menurunkan tandatangan sebagai gimik Perasmian Cawangan Bank Rakyat Tanjong Karang di Taman Makmur, Tanjong Karang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 26 SEPTEMBER 2022.

TANJONG KARANG – Bank Rakyat hari ini memperkenalkan dua skim pembiayaan baharu merangkumi BR ProNiaga dan BRKOP Lestari khusus untuk golongan usahawan profesional.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, bagi tujuan itu Bank Rakyat memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi skim BR ProNiaga.

“Skim ini untuk membantu golongan profesional yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 dan kini menceburi perniagaan sebagai usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang merasmikan Bank Rakyat Cawangan Tanjong Karang.

Tambahnya, pembiayaan baharu itu menawarkan pinjaman perniagaan bermula RM10,000 hingga RM50,000 dan boleh mencecah RM100,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga 66 bulan.

“Mana-mana usahawan profesional yang berminat boleh memohon pembiayaan ini di cawangan Bank Rakyat terdekat,” katanya.

Selain itu, Bank Rakyat juga memperuntukkan dana sebanyak RM30 juta bagi skim pembiayaan baharu BR KOP Lestari.

“Skim ini bagi membantu melestarikan perniagaan koperasi dari sektor pendidikan dan masjid seperti koperasi sekolah, institusi pendidikan tinggi (IPT) serta koperasi guru yang berdepan pelbagai kekangan untuk meneruskan perniagaan dalam fasa endemik.

“Inisiatif ini bertepatan dengan komitmen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk membantu golongan usahawan meliputi pelbagai sektor dan industri yang terjejas untuk bangkit semula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast