Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A.Anbalagan (tengahi) menunjukkan peralatan yang digunakan oleh suspek dalam menjalankan aktiviti kegiatan kes samun pada sidang media mengenai kejayaan anggota polis dalam menumpaskan geng ‘Angah’ di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Empat lelaki disyaki ahli Geng Angah yang  terlibat dalam kes samun kenderaan di tepi jalan dicekup dalam dua serbuan pada Khamis dan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, semua suspek ditahan selepas melarikan kereta milik seorang wanita di tepi jalan berhadapan restoran Mama Kim di Jalan Layang-Layang 4, Puchong Jaya pada 20 September lalu.

Mangsa mendakwa dia didatangi tiga lelaki menaiki kereta dan bersenjatakan parang.

Suspek kemudian mengarahkan mangsa keluar daripada kenderaan lalu menyebabkan mangsa kerugian RM80,000.

Susulan daripada tangkapan itu, polis berjaya merampas pelbagai jenis barangan kegiatan samun termasuk beberapa kereta, lapan telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba dan seutas rantai leher emas yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM250,000.

Sebilah senjata parang yang dipercayai digunakan melakukan kegiatan samun turut dirampas.

ACP A.Anbalagan menunjukkan rampasan kenderaan yang disamun oleh geng ‘Angah’ di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 SEPTEMBER 2022.

Kesemua suspek juga positif dadah jenis methaphetamine.

Menurut Anbalagan, kesemua suspek saling berkenalan di dalam penjara dan membuat perancangan aktif semula melakukan kegiatan samun sejak dua bulan lalu sebaik sahaja selesai hukuman.

Modus operandi mereka melarikan kereta yang parkir di tepi jalan sekitar Serdang, Kajang dan Brickfields.

“Kesemua suspek akan menggunakan wang tunai atau barang berharga hasil samun untuk mendapatkan bekalan dadah manakala kereta yang dilarikan akan dijual di pasaran gelap atau digunakan untuk samun,” kata beliau.

Kesemua suspek memiliki 23 rekod jenayah dan 21 rekod narkotik manakala salah seorang turut memiliki rekod dikehendaki berkaitan dadah.

Kata Anbalagan, kesemua suspek kini direman lima hari di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa senjata api yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat dan akan memohon sambung reman esok. – MalaysiaGazette