Ibu kepada remaja penghuni sebuah madrasah di Jalan Kebun, Zuraina Zamri mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat laporan polis palsu ketika hadir ke Mahkamah Majistret Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2022.

SHAH ALAM –  Ibu kepada seorang penghuni sebuah madrasah milik sebuah pertubuhan di Jalan Kebun, di sini, mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat laporan polis palsu.

Zuraina Zamri, 45, membuat pengakuan itu di Mahkamah Majistret hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 21 Ogos lalu wanita itu didapati memberi laporan palsu di Balai Polis Taman Sri Muda, di sini.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 sekiranya didapati bersalah.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM2,000 kepada tertuduh.

Dalam masa sama, beliau berharap tertuduh tidak mengeluarkan kenyataan yang melampau dan mengganggu kes perbicaraan.

“Kalau perbincangan kajian akademik yang tidak ganggu kes perbicaraan tidak mengapalah,” katanya ringkas.

Baru-baru ini, tular di laman media sosial sebuah madrasah di sini didakwa melaksanakan penderaan ala militan kepada penghuninya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman memohon majistret menghalang tertuduh membuat kenyataan terbuka berkaitan kes tersebut.

Tertuduh diwakili oleh peguam bela, Datuk Wan Azmir Wan Majid. – MalaysiaGazette