Lee Chean Chung. Foto AFFAN FAUZI, 03 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diingatkan agar tidak mengheret Pakatan Harapan (PH) dalam persengketaan antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, umum mengetahui bahawa gabungan yang membentuk kerajaan antara PN-BN sedang berpecah belah dan tindakan mengaitkan PH dilihat canggung.

“Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu libatkan Pakatan Harapan (PH) dalam urusan keluarga BN-PN yang gagal dengan membuat fitnah bahawa PH hendak bekerjasama dengan PN.

“Selepas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin mengumumkan BN sebagai musuh utama, tiba-tiba Zahid menuduh PH nak bekerjasama dengan PN. Orang ramai yang ikut perkembangan politik semasa di tanah air tahu bahawa sebelum ini PKR/PH telah menolak idea bekerjasama dengan PN yang sibuk mengejar kuasa sehingga mengkhianati mandat rakyat pada tahun 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid semalam dalam satu berkata, pihaknya tidak hairan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mengisytiharkan PH sebagai musuh utama walaupun Muhyiddin pernah mendakwa PH tidak selari dengan perjuangan orang Melayu, Islam serta rakyat Malaysia.

Beliau berkata, Muhyiddin seperti masih berharap membawa PN bekerjasama dengan PH yang tidak selari dengan perjuangan Melayu, Islam serta rakyat Malaysia.

Sabtu lalu, Muhyiddin berkata, musuh utama gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah Barisan Nasional (BN).

Malah beliau turut menganjurkan parti-parti dalam PN tidak sepatutnya membuat kenyataan atau menyatakan pendirian yang bertentangan antara satu sama lain.

SEmentara itu, Chean Chung berkata, kerjasama antara Bersatu, UMNO dan Pas tidak mustahil diwujudkan semula kerana ia pernah direalisasikan sebelum ini.

“Namun setiap kali apabila berlaku perbalahan dalaman, BN/PN akan kaitkan PH dalam isu dalaman mereka untuk mengalih perhatian dan menutup kesilapan mereka.

“Sebelum ini Bersatu tiba-tiba ‘melamar’ PH tetapi ditolak, Pas pula nak kafirkan PH, sekarang sampai UMNO yang membuat fitnah yang tidak berasas.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa tugas kerajaan adalah untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Jangan sesekali jadikan PH sebagai punching bag kepada ketiga-tiga parti yang saling bercakaran ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette