Kamarul Zaman Mamat (tengah) menunjukkan barang rampasan dadah yang berjaya dilakukan polis Johor.

JOHOR BAHRU – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor akan melupuskan dadah bernilai RM6.11 juta yang membabitkan kes yang telah selesai bicara dan dijatuhkan hukuman pada 2002 hingga tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia melibatkan pelupusan 301.54 kilogram (kg) dadah dan 642.37 liter pelbagai jenis dadah yang akan dilakukan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Katanya, pada tahun lalu sahaja JSJN Johor melupuskan 1,765 kg dadah dan 3,717 liter pelbagai jenis dadah berjumlah RM28.91 juta.

“Antara dadah dilupuskan melibatkan heroin seberat 41.79 kg; kanabis (20.21kg); ketamin (2.49kg); metamfetamin (9.90kg); methylenedioxy methamphetamine (25.45kg) dan daun ketum (192.03kg) selain pelbagai jenis dadah (9.65kg dan 642.37 liter).

“Bermula 1 Januari hingga 24 September ini seramai 10,566 orang mereka yang terlibat dalam pelbagai kesalahan dadah telah ditahan JSJN dan telah merampas 2.27 tan pelbagai jenis dadah dan harta yang yang telah disita bernilai RM3.75 juta,” katanya di IPK Johor, hari ini.

ementara itu dalam sidang media sama, Kamarul Zaman memberitahu, sebanyak 15 aset polis disediakan bagi membantu menghadapi bencana banjir di Johor.

Jelasnya, pihak polis sentiasa bersedia selain mengharapkan orang ramai mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.-MalaysiaGazette