Shahrir Abdul Samad.-Foto AFFAN FAUZI, 08 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Sebarang tindakan untuk tidak mendedahkan hasil siasatan perkara yang ditulis dalam buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas adalah mengarut.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, pihak berkuasa akan dilihat cuba menyembunyikan sesuatu sekiranya hasil siasatan petugas khas tidak diumumkan kepada masyarakat.

Shahrir mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesyorkan supaya laporan pasukan petugas khas berhubung siasatan ke atas buku “My Story:Justice in the Wilderness” tidak didedahkan kepada umum.

“Kalau betullah berita ini, maknanya adalah perkara yang perlu rakyat tidak boleh tahu. Bukan tak perlu tahu. Tapi tak boleh tahu.

“Satu dunia dah baca apa yang Tommy Thomas tulis dalam bukunya itu. Hanya demi Keluarga Malaysia kot. Betul-betul mengarut pemikiran Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Laporan berita yang diterbitkan dalam portal berkenaan semalam mendakwa, menurut sumber, AGC telah mengemukakan syor agar tidak mendedahkan hasil siasatan kepada kerajaan.

”Berdasarkan syor yang dikemukakan, AGC berpendapat laporan pasukan petugas khas itu tidak wajar didedahkan kepada umum.

“Ini kerana pasukan petugas khas diwujudkan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 8 Oktober 2021 selaras
dengan pelaksanaan kuasa eksekutif di bawah Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan,” lapor berita itu.

Portal tersebut mendakwa, AGC tiada halangan jika siasatan dilakukan oleh agensi penguatkuasa yang berkaitan bagi menyiasat kemungkinan salah laku dilakukan oleh Thomas.

AGC juga mencadangkan supaya Jabatan Audit Negara (JAN) dan agensi kerajaan yang berkaitan menjalankan audit dan penyiasatan yang sewajarnya ke atas AGC untuk menentukan sama ada terdapat sebarang salah laku oleh bekas Peguam Negara era kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu.

Pada 29 Ogos lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pasukan tersebut telah mengenal pasti 19 isu penting daripada buku itu yang memerlukan perhatian lanjut pihak kerajaan.

Untuk rekod, pasukan petugas khas itu ditubuhkan bagi membuat kajian awal berhubung dakwaan, termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih, yang ditulis dalam buku itu.

Buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, yang diterbitkan Thomas mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan.

Selain itu, buku terbabit turut menyentuh mengenai peristiwa 13 Mei 1969, yang didakwa ditulis dengan tidak bertanggungjawab tanpa mengira sensitiviti masyarakat, selain tuduhan yang bertujuan merendahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein. – MalaysiaGazette