Noor Hariri Mohamed Noor

KOTA BHARU – Percanggahan pendapat antara Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung siapa musuh sebenar mereka, membuktikan kedua-dua parti itu tidak sehaluan.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor menegaskan, sikap bercanggah pendapat antara kedua parti itu sudah lama diketahui UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, begitu beriya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan bahawa musuh utama mereka untuk dikalahkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ialah BN.

“Sedangkan, rakan komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas menyatakan musuh utama mereka ialah Pakatan Harapan (PH), bukan BN.

“Ahli Bersatu dari Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor juga dalam kenyataan menyatakan Bersatu negeri itu akan terus menyokong calon BN dalam PRU15 ini.

“Natijah daripada situasi ini menggambarkan Muhyiddin tidak lagi dihormati oleh rakan dalam parti sendiri dan rakan komponen PN apabila banyak keputusan dibuat membelakangkan mereka tanpa dirunding terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, tentunya rancangan khemah besar Muhyiddin itu ditolak oleh Pas dan ahli Bersatu sendiri yang fobia dengan salahguna kuasa PH dan DAP apabila berada dalam satu-satu gabungan.

Katanya, bagi mereka matlamat Muhyiddin telah tersasar daripada landasan sebenar apabila meletakkan agenda peribadi dan dendam kesumat sebagai asas perjuangan PN, bukan untuk membela rakyat seperti diperjuangkan BN.

“Rakyat dapat merumuskan, inilah akibat apabila satu-satu gabungan parti yang dipenuhi oleh pengkhianat mandat rakyat diberi ruang kuasa berada dalam kerajaan ini.

“Nasihat saya kepada Muhyiddin, tidak perlu ugut menggugut Perdana Menteri, mengarah itu dan ini kepada rakan parti komponen serta bermain propaganda untuk menutup kegagalan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

“Kalau anak jantan silalah tekan button seperti yang dimahukan. Serah kembali mandat kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette