Onn Hafiz Ghazi membincangkan sesuatu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Iskandar Puteri, Pandak Ahmad ketika membuat tinjauan di kawasan dilanda banjir di Iskandar Puteri.

JOHOR BAHRU – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor diminta melihat semula dan mencari  penyelesaian terbaik persediaan menghadapi banjir.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beberapa kerja menaiktaraf juga kini giat dilakukan kerajaan negeri setelah beliau melihat beberapa kawasan banjir di Johor Bahru dan Iskandar Puteri, dekat sini, semalam

Tambah beliau, antara kerja yang sedang dan akan dilaksana Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membabitkan menaik taraf pam air dari empat unit kepada enam  unit di Rumah Pam Sg Chat.

“Tiga lagi lokasi juga akan ditambah dengan dua unit pam berkapasiti 25kwh setiap satu iaitu di kawasan Surau Tambatan, Restoran Malay Village dan Jalan Kg Mohd Amin selain kerja pembersihan sampah sarap dan mendapan di dasar Sungai Chat.

“MBJB juga akan menambah pembinaan wier di kawasan hulu iaitu di lokasi Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggung Ibrahim dan kawasan pembangunan Pemaju Tanjung Nahkoda,” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Sementata itu, Onn Hafiz memberitahu, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) akan melebarkan dan mendalamkan Sungai Gelang Patah.

“Selain itu kerja-kerja melebarkan Sungai Senapang dan membina tembok penahan banjir di Kampung Muafakat oleh JPS turut kita lakukan,” katanya. – MalaysiaGazette