KUALA TERENGGANU – Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memalsukan dokumen berkaitan Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dua tahun lepas.

Ezza Suria Muda, 37, didakwa memalsukan dokumen iaitu Borang Pendaftaran Pekerja di bawah Peraturan-Peraturan (AM) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 (Peraturan 10, 12 dan 12A) yang mengandungi senarai nama pekerja syarikatnya dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan hendak menipu.

Wanita itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur di Hulu Terengganu pada 3 Nov dan 23 Nov 2020 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Dazuki Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta dia perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Okt ini bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Syed Azimal Amir.

— BERNAMA