Lim Kit Siang Parlimen PRU-15 Najib
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu membuat perisytiharan tiada pilihan raya umum tahun ini sebelum pembentangan Belanjawan 2023.

Pemimpin Kanan DAP Lim Kit Siang berkata, tidak ada siapa berminat dengan Belanjawan 2023 jika Ismail Sabri gagal membuat pengumuman tersebut selewat-lewatnya sehari sebelum pembentangan.

Katanya, minat orang ramai akan terus tertumpu kepada tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) berbanding Belanjawan 2022 sekiranya Ismail Sabri gagal berbuat demikian.

“Perdana Menteri Ismail Sabri, perlu mengumumkan selewat-lewatnya hari Khamis, 6 Oktober, bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 tidak akan diadakan pada tahun ini dalam musim tengkujuh dan banjir.

“Jika tidak, tidak akan ada sesiapa pun yang berminat dengan Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan pada 7 Oktober sebaliknya semua tertumpu kepada persoalan bilakah Parlimen akan dibubarkan,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Kit Siang dalam kenyataannya berkata, jika Ismail Sabri tetap mahu membubarkan Parlimen selepas pembentangan Belanjawan maka Yang di-Pertuan Agong mempunyai dua sebab untuk menolaknya.

Alasan pertama, menurut Kit Siang, Parlimen tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka atau permainan politik.

Sebaliknya Dewan Rakyat perlulah diberikan ruang untuk membahas dan meluluskan Belanjawan 2023 selepas dibentangkan melainkan terdapatnya undian tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan tidak ada sesiapa yang dapat membentuk kerajaan.

Agong menurut Kit Siang, boleh menjadikan alasan musim tengkujuh yang telah mengorbankan 54 nyawa dan menyebabkan kerosakan harta sejumlah RM6.5 billion pada tahun lepas untuk menolak PRU15 diadakan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mendakwa, masa yang ada perlu ditumpukan untuk mengadakan persediaan menghadapi banjir.

Kenyataan Kit Siang itu senada dengan berpuluh pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain yang tidak mahu PRU15 diadakan dalam tahun ini.

Mereka mahu penumpuan diberikan terhadap persediaan menghadapi banjir.

Belanjawan 2023 akan dibentang di Dewan Rakyat tiga minggu lebih awal pada 7 Oktober ini berbanding tarikh asal 28 Oktober.

Ada pihak mendakwa bahawa tindakan mempercepatkan tarikh pembentangan Belanjawan 2023 adalah tanda bahawa PRU15 akan diadakan lebih awal.

Ismail Sabri bagaimanapun sehingga kini masih berahsia mengenai tarikh pembubaran Parlimen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast