KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan dalam talian akan menyasarkan golongan muda, termasuk pelajar, sebagai mangsa dengan menggunakan laman media sosial untuk memperdayakan mereka.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, mangsa diperdaya dan diperangkap melalui urusan pinjaman wang tidak wujud dan akaun keldai.
“Sindiket ini pasti turut menggunakan Pinjaman Tidak Wujud dan Ah Long menggunakan medium media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Wechat, Instagram dengan mengiklankan tawaran pinjaman dengan jaminan kelulusan yang pantas serta syarat yang mudah.
“Sindiket akan menggunakan kaedah yang lazim digunakan menjerat mangsa selama ini iaitu dengan berurusan bersama mangsa secara atas talian dan meminta pelbagai dokumen, seterusnya memperdaya mangsa untuk membuat pelbagai pembayaran seperti yuran proses, guaman, insuran dan sebagainya,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Maya-Jenayah Kewangan: Semak Sebelum Diperdaya, di sini, hari ini.
Hadir pada majlis Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Menurut Acryl Sani, bagi membendung kes-kes jenayah itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalin kerjasama dengan institusi perbankan bagi siasatan, khususnya melibatkan penggunaan akaun keldai akaun dapat dilakukan dengan pantas.
Sementara itu, beliau memberitahu, PDRM menggariskan tujuh jenis penipuan atas talian iaitu belian atas talian, pinjaman tidak wujud (PTW), pelaburan dalam talian, Macau Scam, African Scam, Business Email Compromised (BEC) atau pintasan e-mel dan penipuan SMS.
Jelas Acryl Sani, berdasarkan statistik PDRM, ketujuh-tujuh kategori jenayah komersial tersebut menunjukkan trend meningkat untuk bagi tempoh t2019 hingga 2021.
“Pada tahun 2019, sebanyak 13,703 kes direkodkan dengan nilai kerugian RM539 juta, manakala sebanyak 17,227 kes direkodkan membabitkan kerugian berjumlah RM511.2 juta pada tahun 2020; bagi tahun 2021 pula, mencatatkan sebanyak 20,701 kes dengan nilai kerugian RM560.8 juta.
“Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga Julai 2022 pula, jumlah kes yang direkodkan ialah sebanyak 12,092 kes dengan nilai kerugian RM414.8 juta dan bagi tempoh dari tahun 2019 hingga Julai 2022, seramai 33,147 suspek kes penipuan siber telah ditangkap dan 22,196 kes jenayah atas talian berjaya dituduh di mahkamah,” ujarnya.
Tambah beliau, hasil penelitian mendapati statistik kes jenayah siber globak tidak menurun dengan penjenayah mengeksploitasi perubahan teknologi dan menjerat mangsa secara kreatif. – MalaysiaGazette