Gambar Hiasan
KUANTAN – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus berdiri teguh meraikan istiadat Perbarisan bersempena Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia yang Ke-89 dengan melancarkan  dokumen Strategi Ketenteraan Negara 2.0 (SKN 2.0) di Pangkalan Udara Kuantan, hari ini.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, SKN 2.0  mendokong aspirasi pertahanan negara dengan menjadikan Kertas Putih Pertahanan dan Dasar Pertahanan Negara sebagai sumber rujukan utama.
“Dengan pelancaran ini, dokumen SKN terdahulu akan terbatal dan seterusnya, SKN 2.0 ini akan menjadi sebuah dokumen strategi terkini yang relevan, berkesinambungan dan praktikal dalam memastikan Angkatan Tentera Malaysia sentiasa berada di landasan yang ditetapkan.
“Dokumen ini menjelaskan perancangan strategi ketenteraan yang digubal secara holistik serta inklusif bagi mencapai objektif-objektif ketenteraan, sekaligus membolehkan Angkatan ini mendapat kelebihan strategik (strategic advantage) dalam apa jua keadaan.
“Kelebihan ini bukan sahaja akan membolehkan Angkatan Tentera Malaysia mengaplikasikan opsyen ketenteraan berjulat luas (broad range military options), malah turut menjadi asas kepada pembangunan pertahanan nasional, ke arah menjadi sebuah Angkatan Masa Hadapan bagi mendepani ancaman yang semakin kompleks dan dinamik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di istiadat Perbarisan bersempena Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia yang Ke-89 di sini.
Menurut Affendi, semua Panglima Perkhidmatan dan seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia di ketiga-tiga perkhidmatan Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia perlu bersama-bersama  membuat lonjakan paradigma daripada SKN terdahulu kepada SKN 2.0, melalui proses learn, unlearn and relearn.
“Kita tiada pilihan kecuali harus bersama-sama menerima dan mematuhi dengan sebaik-baiknya SKN 2.0 ini. Kebersamaan inilah nanti, yang akan menjamin kejayaan angkatan dalam menghadapi sebarang ancaman dengan lebih efektif dan efisyen,” katanya.
Hampir sembilan dekad penubuhan ATM, jelasnya, ia sedikitpun tidak menjadikan ATM sebagai sebuah angkatan yang lapuk.
Sebaliknya, tegas beliau, ATM bertambah matang dan terus berkembang untuk beradaptasi dan berasimilasi agar sentiasa bersedia menghadapi ketidak-tentuan ancaman keselamatan era ini. – MalaysiaGazette.