Seorang bayi perempuan yang sihat ditemui awam dalambeg dan ditinggalkan di kawasan kedai dekat apartmen di Bukit Jalil Ahad lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan yang masih hidup ditemui dalam beg di kawasan Apartmen Sri Rakyat, Bukit Jalil di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, bayi malang itu dijumpai oleh orang awam dan ditinggalkan berhampiran kawasan kedai makan sebelum memaklumkannya kepada pihaknya.

“Pihak Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM yang tiba di lokasi kejadian telah membuat pemeriksaan ke atas bayi tersebut dan mengesahkan bayi yang dijumpai berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zam Halim, bayi tersebut telah dibawa ke Balai Polis Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.

Menurut Zam Halim, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan untuk mengesan individu yang bertanggungjawab mengabaikan bayi tersebut.

“Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap mana-mana kejadian tanpa maklumat yang sahih,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.-MalaysiaGazette