KUALA LUMPUR Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) telah memperbaharui Perjanjian Swap Mata Wang Tempatan Dua Hala (LCBSA) dengan jumlah pengaturan swap hingga RM8 bilion/IDR28 trilion pada 23 September 2022.
Pembaharuan perjanjian ini merupakan susulan perjanjian pertama yang ditandatangani pada tahun 2019 dan akan berkuat kuasa untuk tempoh tiga tahun.
BNM berkata, perjanjian yang diperbaharui ini mengukuhkan kerjasama yang sedia terjalin antara kedua-dua bank pusat.
”Memandangkan aliran perdagangan yang tinggi1 antara Malaysia dengan Indonesia, kami berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan Bank Indonesia melalui pembaharuan LCBSA ini.
”LCBSA juga menyumbang kepada Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF) antara kedua-dua negara iaitu pengaturan yang menggalakkan penggunaan mata wang tempatan secara lebih meluas bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan,” kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Manakala Gabenor Bank Indonesia berkata, pembaharuan pengaturan swap mata wang ini mencerminkan kerjasama kewangan yang terus kukuh antara pihaknya dengan BNM dan akan terus membina keyakinan pasaran terhadap asas ekonomi kedua-dua negara.
Pembaharuan swap ini juga menunjukkan komitmen kami untuk memperkukuh kestabilan pasaran kewangan melalui usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan yang lebih meluas untuk transaksi dua hala antara Indonesia dengan
Malaysia,” kata Perry Warjiyo. – MalaysiaGazette