Syeikh Yusof Al Qardhawi

KUALA LUMPUR – Solat Jenazah Ghaib buat Allahyarham Prof. Syeikh Dr. Yusof Abdullah Al-Qaradawi Rahimahullah akan dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di tiga buah masjid utamanya selepas solat Isyak malam ini.

Ketua Pengaraj Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, solat berkenaan akan diadakan di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

“Sehubungan itu, Jakim menjemput semua Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara agar turut sama mengadakan Solat Jenazah Ghaib buat Almarhum.

“Kami turut menzahirkan ucapan takziah atas kembalinya ke rahmatullah Dr. Yusof Al-Qaradawi Rahimahullah semala pada usia 96 tahun di Doha, Qatar.

“Sebelum ini, Almarhum yang juga Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun 1431H bersamaan tahun 2009M,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Hakimah, pemergian Almarhum merupakan suatu kehilangan yang amat besar buat dunia khususnya dalam dunia keilmuan, pemikiran dan dakwah sangat memberi kesan terhadap perkembangan dan kemajuan umat di seluruh dunia.

Allahyarham dilahirkan pada 9 September 1926 dan disahkan positif Covid-19 pada April lalu serta menetap di Qatar ketika hayatnya.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham menulis lebih 120 buku termasuk Al Halal Al Haram Fil Islam. – MalaysiaGazette