Istiadat pengebumian negara buat Shinzo Abe, bekas Perdana Menteri Jepun. Foto Twitter

ISTANBUL – Jepun pada Selasa melangsungkan istiadat  pengebumian negara sebagai menghormati bekas Perdana Menterinya, Shinzo Abe, yang dibunuh pada Julai semasa kempen pilihan raya, lapor Agensi Anadolu (AA).

Keputusan untuk memberi penghormatan negara itu, mencetuskan bantahan di sekitar tempat acara itu yang berlangsung di taman berhampiran Dewan Nippon Budokan di Tokyo, dengan lebih 700 pembesar asing dan penduduk tempatan memberi penghormatan terakhir kepada bekas pemimpin Parti Demokratik Liberal,  yang terkenal kerana menstabilkan arena politik Jepun.

Upacara itu bermula sekitar 2.13 petang waktu tempatan (0513GMT) selepas abu jenazah Abe yang dibakar, tiba di lokasi dan diserahkan kepada Perdana Menteri Fumio Kishida oleh balu perdana menteri Akie Abe.

Putera Mahkota Jepun Akishino mewakili keluarga diraja negara itu pada pengebumian negara itu.

Sebuah dokumentari singkat akan kehidupan dan sumbangan Abe sebagai ketua eksekutif Jepun, disiarkan selepas lagu kebangsaan negara itu dimainkan di situ.

“Jepun sudah bangkit semula… Masa Depan Jepun bergantung pada apa yang kita lakukan sekarang,” adalah antara petikan daripada ucapan Abe yang dimainkan semasa majlis itu.

Kishida mempertahankan keputusannya mengadakan istiadat itu.

“Encik Abe, anda adalah orang yang sepatutnya hidup lebih lama, lebih lama sebagai kompas untuk masa depan Jepun dan dunia,” kata Kishida pada majlis itu.

“Kami tidak lagi dapat melihat anda beraksi… itu sangat menyayat hati dan dikesali,” tambah Kishida.

Tokyo berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan kira-kira 20,000 anggota polis mengawal lokasi pengkebumian negara itu.

Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris, Perdana Menteri India Narendra Modi, Menteri Luar Turkiye Mevlut Cavusoglu dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Thomas Bach adalah antara tetamu asing yang menghadiri pengebumian itu.

Abe, perdana menteri Jepun yang paling lama berkhidmat, dibunuh pada 8 Julai ketika menyampaikan ucapan kempen pilihan raya di barat bandar Nara.

Ia adalah kali pertama dalam tempoh 55 tahun Jepun memberi penghormatan kepada mana-mana pemimpinnya dengan upacara pengebumian negara.

Pengebumian negara hanya dikhaskan untuk ahli keluarga diraja Jepun.

Sejak Perang Dunia II, hanya seorang ahli politik diberi penghormatan itu pada 1967. Beliau ialah Yoshida Shigeru yang berkhidmat dengan Jepun sebagai perdana menteri selama tujuh tahun, dalam dua penggal — dari 1946 hingga 1954.  Beliau terlibat dalam rundingan mengenai penamatan pendudukan AS dan Jepun mendapatkan semula kemerdekaan. – BERNAMA