KUANTAN – Majoriti nelayan mahu Program AZAM Tani dihidupkan semula dan disertakan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan 7 Oktober ini.
Seorang wakil mereka di Kampung Pantai, Beserah, Abdul Aziz Razali, 52, berkata, program itu juga sangat bermanfaat bagi golongan sasar termasuk buruh kasar, petani dan penternak.
“Program itu mustahak kepada nelayan kerana melibatkan subsidi sampan, subsidi enjin bot, bantuan pukat. Bila program tersebut dibekukan, ada masalah la sedikit kepada nelayan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.
Menurut Aziz, kali terakhir nelayan menerima insentif itu sekitar empat atau lima tahun dahulu menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Sebab yang dapat enjin dan bot dulu kemungkinan enjin dah rosak. Kalau ada bajet balik tu boleh lah kita mohon. Itulah harapan nelayan,” ujarnya.
Bukan tidak bersyukur bantuan yang disalurkan kepada nelayan pada masa ini, namun katanya, mereka semakin terhimpit kerana banyak faktor lain juga.
Disebabkan itu, dengan menghidupkan semula Program AZAM Tani, ia dilihat sebagai sinar yang dapat memberi harapan bagi meningkatkan pendapatan dan mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.
Mengulas lanjut, Aziz meluahkan nelayan di sepanjang pantai di sini juga mengalami kekurangan sumber iaitu hasil tangkapan yang merosot sejak akhir-akhir ini.
“Dahulu sepatutnya ikan kembung kita boleh dapat 50 hingga 60 kilogram (kg) sehari. Sekarang nak cari 20-30 kg pun payah. Ada yang dapat 100 kg tapi bukan hari-harilah. 100 kg itu mungkin seminggu sekali sahaj dapat,” luahnya.
Jelasnya, ia menyebabkan mereka terpaksa menambah perjalanan lebih 16 kilometer (km) ke tengah laut untuk mencari sumber baharu.
“Itu memang mengakibatkan penggunaan kos dan minyak yang lebih tapi kita berterima kasih sebab masih ada lagi subsidi minyak. Minyak bersubsidi memang harga tetap diberikan kerajaan, tapi sebab kita pakai 2T, masih terjejas lah. Sebab harga 2T tu memang melambung naik sekarang,” kata Aziz.
Bagi Bajet 2023 kelak, dia berpendapat sudah tiba masanya kerajaan menambah elaun sara hidup sebanyak RM300 sebulan yang diberikan kepada para nelayan.
“Mungkin boleh naik RM350 atau RM400. Itu cuma permintaan sahajalah. Itu semua atas kerajaan,” ulasnya.
Katanya, seiring dengan peningkatan kos sara hidup yang dirasi semua lapisan masyarakat para nelayan juga tidak terkecuali.
“Kos sara hidup bagi nelayan bukan semata-mata untuk makan. Tapi termasuk perkakas untuk ke laut, minyak dan 2T tu memang lebih.
“Bayangkan, sebidang pukat tu kalau dulu RM60 lebih sahaja. Sekarang RM110. Hampir sekali ganda. Memang banyak beza. Kalau minyak 2T tu kalau sebelum PKP yang biasa kita pakai tu RM110. selepas PKP sampai sekarang RM180 bagi 10 liter,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi nelayan, Aziz Bakar, 60, juga mahu elaun sara hidup bagi golongan itu ditambah.
“Yang elaun RM300 ini bukan yang baru, yang lama mula-mula dapat lesen dahulu. Masa dapat lesen dulu dia bagi dah RM300, lepas tu dia potong jadi RM250, lepas tu dia tambah yang tu juga tambah RM50. Jadi RM300 balik,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Dia turut mengakui perubahan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini menjejaskan pendapatan harian nelayan merosot menyebabkan kehidupan mereka semakin terhimpit.
“Sebab harga barangan sekarang makin naik. Semua barang dah naik. Jadi tak berpadanan,” luahnya.
Selain elaun sara hidup, Aziz juga menyuarakan pandangan sama berkenaan Program AZAM Tani yang banyak membantu dalam kalangan nelayan meningkatkan produktiviti hasil mereka seharian.
“Kalau dapat subsidi untuk enjin pun bagus juga. Boleh juga meringakan beban. Enjin ni dia pakai pun tak lama. Dia bukan boleh seumur hidup boleh pakai. Kalau tukar subsidi untuk enjin ke, bot ke untuk nelayan-nelayan, boleh la tahan sikit,”katanya.
Program AZAM Tani yang telah pada dilaksanakan pada tahun 2010 dilihat sebagai satu impak positif kepada golongan sasar sebelum ia dihentikan.
Antara kemudahan yang diberikan yang diberikan kepada peserta AZAM Tani ialah peralatan untuk menangkap ikan seperti sampan, enjin bot, pukat, peralatan untuk pemprosesan makanan dan keperluan peralatan pertanian yang diberikan secara subsidi dan one off.- MalaysiaGazette