Gambar hiasan

KLANG – Tak cukup anak, emaknya pun kena belasah!

Itu dakwaan tindakan seorang suami apabila didakwa tidak tahan dengan kerenah dua anakny yang suka merayau dan pulang lewat ke rumah di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun tindakan suspek mengundang padah apabila dicekup polis semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada ibu anak kembar itu di balai polis.

Katanya, dalam laporan itu, ibu mangsa mendakwa dua anak lelakinya yang juga pasangan kembar berusia 11 tahun itu telah dipukul, ditampar dan ditumbuk di muka serta badan oleh suaminya semasa kejadian pada 20 September lalu.

“Dalam kejadian yang berlaku jam lebih kurang 7 malam itu, ibu mangsa turut dibelasah oleh suspek kerana cuba menghalang tindakan suaminya daripada terus memukul anak-anaknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hoong Fong, bertindak atas maklumat, pada hari yang sama kira-kira jam 7.30 malam, pasukannya telah menahan suspek berusia 44 tahun itu di kediamannya di Klang.

Ujarnya, semakan awal polis mendapati suspek iaitu bapa kepada lima orang anak itu mempunyai tiga rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah.

“Siasatan polis mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan kanak-kanak itu yang didakwa sering keluar merayau dan pulang lewat ke rumah.

“Semakan lanjut juga mendapati, terdapat kesan kecederaan lama ditemui di badan kedua-dua mangsa dipercayai akibat dipukul oleh suspek namun tiada sebarang rawatan atau laporan polis dibuat berkenaan kejadian tersebut sebelum ini.

“Suspek yang merupakan seorang pemandu lori kini telah direman empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut polis,” katanya.

Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi kesalahan penderaan terhadap kanak-kanak. – MalaysiaGazette