seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor dan lans Koperal parah ditangan akibat ditetak penagih dadah mengamuk menggunakan parang dalam kejadian semalam di Kampung Sungai Kandis.Ihsan Gambar IPD Shah Alam

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis daerah Shah Alam cedera parah ditetak oleh seorang suspek penagih dadah menggunakan parang.

Insiden itu berlaku ketika mereka sedang menangkap suspek yang mengamuk dengan abang kandungnya di Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36 , Shah Alam, Selangor, kira-kira jam 3.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika itu Inspektor Mohd Zulhusni Hasani bersama Lans Koperal Mohd Ridzuwan Marsudi dan lima anggota polis lain sedang membuat ‘follow up’ bersabit kes jenayah yang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Suspek seorang penganggur berusia 47 tahun menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Navara mengamuk dan melanggar kenderaan jenis Honda Accord milik abang kandungnya seorang pesara guru berusia 53 tahun, menghempas pasu bunga pada kenderaan abangnya dan telah mengejar abangnya dengan sebilah parang,” katanya dalam kenyataan tengahari tadi.

Bertindak atas maklumat, polis bergegas ke rumah suspek di Kampung Sungai Kandis tetapi dia enggan mengunci rumah dan enggan bekerjasama.

Zulhusni bersama pasukan polis telah berjaya masuk ke dalam rumah tersebut dan tiba-tiba suspek melibas parang ke arah Mohd Ridzuwan sebelum satu das tembakan dilepaskan oleh anggota polis itu untuk mempertahankan dirinya.

“Namun suspek terus menyerang dan menyebabkan Mohd Ridzuwan mengalami kecederaan parah di pergelangan tangan kiri menyebabkan tiga jari tidak dapat digerakkan.

“Manakala Mohd Zulhusni juga mengalami kecederaan di pergelangan tangan kanan ketika bersama pasukan polis bergelut untuk menangkap suspek,” tambahnya.

Suspek yang berjaya dicekup disahkan positif Methamphetamine, Amphetamine dan Tetrahydro Cannabinol Hydrocarboxy Lic Acid (THC) serta mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan jenayah di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Lelaki itu direman selama tiga hari bermula 27 sehingga 29 September ini.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 307/326 Kanun Keseksaan oleh Pegawai Penyiasat kes Inspektor Syazwani Rossdi. – MalaysiaGazette