Jatuh flat
Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI – Pengarah urusan sebuah kilang ditemui mati di tingkat bawah tempat kerjanya di Perindustrian Ringan Sungai Tukang di sini, semalam.

Lelaki warga Jepun berusia 47 tahun itu ditemui salah seorang pekerja kilang tersebut pada jam 7.55 pagi sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mayat mangsa ditemui di tingkat bawah kilang berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa merupakan pengarah kilang tersebut dan hampir 10 tahun bekerja, selain mempunyai seorang cahaya mata di negara asalnya iaitu Jepun.

“Hasil temu bual saksi juga mendakwa mangsa ada menceritakan kilang di bawah pengurusannya mempunyai masalah kewangan sejak dua tahun,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Zaidy, tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian dan pihak forensik telah mendapatkan sampel untuk ujian lanjut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelas beliau. – MalaysiaGazette