Tommy Thomas
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Jabatan Audit Negara dan agensi kerajaan yang berkaitan disarankan untuk menjalankan audit dan siasatan terhadap Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengesan sama ada terdapat salah laku oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Memetik laporan Malaysiapost hari ini, saranan itu terkandung dalam laporan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat buku Tommy yang bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang dibentangkan kepada kerajaan.

“Pasukan Petugas Khas seterusnya mengesyorkan supaya Jabatan Audit Negara dan agensi kerajaan yang berkaitan menjalankan audit dan penyiasatan yang sewajarnya ke atas AGC untuk menentukan sama ada terdapat sebarang salah laku Tommy semasa beliau menjadi Peguam Negara.

“Siasatan ini harus memberi tumpuan antara lain, tetapi tidak terhad kepada, pendakwaan kes berprofil tinggi, pelantikan peguam luar dan penubuhan Tribunal Suruhanjaya Pilihan Raya bagi menentukan sama ada terdapat sebarang pekeliling dan/atau arahan yang tidak dipatuhinya semasa memegang jawatan Peguam Negara,” menurut laporan berkenaan yang dibentangkan kepada kerajaan.

AGC sebelum ini dilaporkan telah mengesyorkan kepada kerajaan supaya laporan Pasukan Petugas Khas berhubung siasatan ke atas buku Tommy itu tidak didedahkan kepada umum.

Sementara itu, pasukan berkenaan telah mengemukakan syor-syor berpandukan kepada terma rujukan penubuhannya.

Secara amnya, Pasukan Petugas Khas mendapati beberapa pendedahan, dakwaan dan kenyataan yang dibuat oleh Tommy dalam buku tersebut adalah mengelirukan, boleh disalah erti dan menimbulkan salah faham.

Tommy boleh disiasat di bawah Seksyen 124 dan 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pada 29 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan, laporan akhir Pasukan Petugas Khas telah mengenal pasti 19 isu penting yang memerlukan perhatian kerajaan berikutan dakwaan yang terdapat dalam buku tulisan Tommy itu. – MalaysiaGazette