Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama timbalannya, Datuk Seri Ti Lian Ker bergambar kenangan dengan penerima anugerah pada Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan Tahun 2021 di Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tidak berlaku isu persatuan badan sukan  ‘menghilangkan diri’ selepas menerima dana peruntukan untuk menjalankan aktiviti persatuan daripada kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sehingga kini tidak berlaku pemberian peruntukan dana kepada persatuan sukan yang tidak aktif di bawah kementerian itu.

Beliau telah menyemak dengan pihak Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) sama ada berlaku unsur rasuah membabitkan pemberian dana kepada persatuan tidak aktif yang didakwa ‘hilang’ selepas menerima dana tersebut.

“Semalam, saya segera melakukan tindakan dengan pegawai di JBSN dan PJS apakah perkara ini (persatuan sukan hilang lepas terima dana atau tidak menggunakan dana untuk aktiviti sukan) berlaku yang mana ada persatuan tidak aktif selepas menerima peruntukan dan siasatan kita dapati sebenarnya tidak berlaku perkara sebegitu (ketirisan).

“Ini kerana semua persatuan yang mendapat peruntukan daripada kami perlu melalui pelbagai perkara termasuk perlu menghantar laporan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB), bila kita dah bagi wang mereka perlu kemukakan laporan tahunan dan penafsiran juga mesti dibuat oleh pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan Negara di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan 2021 di MSN Bukit Jalil petang tadi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita diminta mengulas kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan kewujudan aktiviti rasuah dalam industri sukan negara terutama dalam aspek pengurusan dana.

SPRM juga memaklumkan pihaknya akan membantu PJS melakukan siasatan terperinci terhadap lebih 1,000 persatuan sukan yang ‘hilang’ di negara ini sama ada menggunakan dana dengan tujuan betul atau sebaliknya.

Mengulas lanjut kepada kenyataan SPRM itu, Ahli Parlimen Tambun itu menambah, ia mungkin merujuk kepada isu yang pernah berlaku sebelum beliau menerajui kementerian itu dan bukan sekarang.

Katanya, sejak beliau menjadi menteri, mana-mana persatuan gagal memenuhi syarat memberi laporan MYKB selama tiga tahun berturut-turut tidak akan diberi sebarang dana.

“Justeru, saya telah pun mengarahkan pihak JBNS yang bertanggungjawab menyelaraskan peruntukan kepada persatuan-persatuan sukan bersama dengan pihak PJS untuk memastikan perkara itu tidak berulang lagi pada masa akan datang,” ujarnya.

Majlis Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan 2021 itu sebanyak lima badan sukan negara dianugerahkan taraf lima bintang.

Lima persatuan itu adalah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Persekutuan Wushu Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM).

Selain itu, sebanyak 94 badan sukan lain turut layak menerima penarafan bintang dan daripada jumlah itu, lima peratus adalah badan sukan peringkat kebangsaan, 10 peratus badan sukan peringkat negeri, 66 peratus badan sukan peringkat daerah dan 19 peratus badan sukan peringkat kelab. – MalaysiaGazette