Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan Lim Guan Eng sebagai individu yang terlalu bimbang dengan kejayaan yang telah dilakukan oleh beliau sepanjang menyertai Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Pertahanan itu berkata, Pengerusi DAP itu tidak akan mengatakan bahawa beliau adalah menteri yang berjaya dalam Kabinet meskipun dunia akan kiamat.

“Alhamdulillah, dia berulang-ulang kali kata bahawa saya ni menteri yang paling gagal dalam Kabinet.

“…kerana dalam politik ada orang keluarkan kenyataan macam itu maknanya dia bimbang apa yang kita dah lakukan.

“Orang yang tak endahkan kita, maknanya kita tak buat kerja …dan saya nak dia orang ni tahu cakaplah lebih, sebab saya tahu sampai kiamat pun dia tak apakan cakap saya ni menteri yang dah berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Hospital Angkatan Tentera, Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Turut serta pada lawatan itu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Beliau ditanya wartawan mengenai tindakan Guan Eng baru-baru ini menyenaraikan 10 menteri gagal dalam era pentadbiran Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Bekas Menteri Kewangan ketika pentadbiran Pakatan Harapan itu meletakkan Hishammuddin dalam senarai pertama.

Ini kerana Hishammuddin menyelia pembelian kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

Tidak terlepas daripada dilabel sebagai menteri gagal adalah musuh ketat DAP iaitu pemimpin Pas yang diletakkan di tempat kedua, ketiga dan keempat.

Guan Eng mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai tidak cekap.

Dalam ketiga-tiga pemimpin itu, Guan Eng menganggap Idris yang merupakan Naib Presiden Pas sebagai menteri paling teruk.

Ahli Parlimen Bagan itu juga menyenaraikan Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan di tempat kelima sebagai menteri gagal dalam Kabinet Ismail Sabri. – MalaysiaGazette