MERSING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 19 kru termasuk tekong warga Vietnam selepas didapati menangkap ikan secara haram di kedudukan 12.8 batu nautika timur laut Pulau Aur, di sini, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, pihaknya turut merampas dua bot nelayan, peralatan menangkap ikan dan kira-kira 3,000 kilogram hasil laut yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta.

Beliau berkata kedua-dua bot itu sedang melakukan aktiviti menunda pukat ketika ditahan oleh aset APMM dan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam rondaan OP Jaksa dan OP Bersepadu, kira-kira 2.30 petang.

“Bertindak atas aduan yang diterima daripada kru bot memancing yang berada berdekatan dengan pulau tersebut, bot ronda zon Maritim Mersing bersama dua lagi bot PPM segera ke lokasi terbabit.

“Hasil pemeriksaan ke atas 19 kru termasuk tekong mendapati kesemua mereka merupakan warga Vietnam, berusia 18 hingga 51 tahun. Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Nizam berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua mereka dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut.

“APMM mengambil serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut di perairan negara, ” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan jenayah boleh menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404. – Bernama