Anwar Ibrahim

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan bayangan akan bertanding di kerusi yang pernah ‘dilarikan’ oleh bekas pemimpin PKR.

Kenyataan itu sekaligus memberikan isyarat bahawa Presiden PKR itu berkemungkinan tidak mempertahankan kerusi Port Dickson.

“Kawasan kubu UMNO pun (PH) boleh masuk. Tetapi saya harus pilih kawasan-kawasan pengkhianat. Mesejnya bahawa pengkhianatan dalam politik (tidak boleh diterima).

“Kemungkinan besar (saya bertanding) di kerusi pengkhianat,” katanya kepada pemberita pada program Sembang Kencang Kelab Wartawan Kuala Lumpur (KLS) @DSAI di sini malam tadi. 

Anwar sebelum ini berkata beliau diberikan tawaran kerusi Parlimen Tambun.

Malah terdapat desas desus yang mendakwa Anwar akan bertanding di Parlimen Ampang.

Kerusi-kerusi yang ‘dilarikan’ antaranya Parlimen Gombak, Ampang, Bandar Tun Razak, Batu Pahat, Segamat dan beberapa lagi kerusi lain.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bertanding atas tiket PKR pada PRU-14, bertindak keluar daripada parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette