PUTRAJAYA – Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan jenayah intip dan hendap, yang dikenali sebagai anti-stalking akan dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mengesahkan perkara itu berkata, RUU tersebut antara yang terawal akan dibentang pada sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 (2022) yang akan bermula tidak lama lagi.
RUU terlibat, katanya, adalah Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 dan Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2022.
“Takwim baharu bagi sesi sidang Dewan Rakyat ialah pada 3 Oktober hingga 29 November 2022 selama 32 hari.
“Manakala sidang Dewan Negara bermula selama 11 hari dari 21 November hingga 7 Disember ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Menurut beliau, perubahan takwim kali ini bagi membolehkan pembentangan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2023 dipercepatkan. – MalaysiaGazette