KUALA LUMPUR — Polis berjaya menumpaskan satu sindiket yang aktif mencuri motosikal di sekitar Lembah Klang dengan penahanan enam individu dalam beberapa siri serbuan Op Roda pada 20 dan 21 September lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya turut merampas enam buah motosikal dan empat rangka motosikal pelbagai jenis yang dilaporkan hilang di beberapa lokasi berbeza.

“Kesemua rampasan motosikal tersebut dianggarkan bernilai RM60,000.

“Selain itu, beberapa komponen motosikal, satu unit mesin pemotong besi, dua unit mesin gerudi, tiga unit mesin grinder dan dua mesin godam (hacker) disyaki digunakan untuk mencuri motosikal turut dirampas” katanya dalam satu sidang media di IPD Sentul, di sini, hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati modus operandi sindiket terbabit didalangi empat individu yang diketuai lelaki dikenali sebagai Ameer yang berusia 26 tahun.

“Setelah sesebuah motosikal dikenalpasti, salah seorang daripada suspek yang juga seorang mekanik motosikal akan bertindak menendang pemegang motosikal serta mematahkan kunci pendua yang dipasang pada tayar motosikal tersebut.

“Suspek kemudian akan menunda motosikal tersebut ke sebuah stor di rumah mereka dengan bantuan seorang lagi rakan sejenayah untuk diubahsuai” kata beliau sambil menambah suspek-suspek yang ditahan itu berusia antara 26 hingga hingga 35 tahun. 

Jelas Eng Lai, motosikal yang dicuri itu akan dipasarkan di laman sosial pada harga antara RM2,000 hingga RM5,000, bergantung kepada model.

Selain itu, tambah beliau, suspek turut menjual komponen motosikal pada harga serendah RM50 hingga RM4,000, bergantung kepada permintaan.

“Kumpulan ini beroperasi sejak 2017, di mana dua suspek Ameer dan Jojo kembali aktif selepas berjaya melepaskan diri dalam serbuan sebelum ini.

“Kesemua suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan telah direman bermula 21 September sehingga hari ini bagi membantu siasatan” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan kesemua suspek akan diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bagi membantu siasatan.

Katanya lagi, kejayaan Op Roda itu berjaya menyelesaikan 10 kes kecurian yang dilaporkan, yang mana enam kes di kawasan Sentul, Kuala Lumpur dan empat kes lagi di kawasan Gombak, Selangor. – MalaysiaGazette