Presiden Parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap kepada media selepas memberi keterangan berikutan perhimpunan ‘Nyawa Dulu, Baru PRU’ di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR — “Orang kecil boleh ditekan, diugut tapi apabila ada banjir balak di Kedah, Pahang, pembalak besar tidak pula disiasat.”

Itu tegas Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempersoal ketidakadilan terhadap mangsa banjir di Kampung Iboi di Baling, Kedah.

Soal beliau, MUDA yang ingin membela rakyat memperjuang nasib mereka dan tidak ingin bermain politik ketika musim ramalan banjir pula diheret ke balai polis.

“Sejujurnya saya sedih, kecewa dan marah. Mereka yang gila kuasa sanggup mengheret rakyat ke pilihan raya apabila risiko kematian, rumah dan harta rakyat hancur hanya demi kuasa mentadbir negara.

“Mangsa banjir di Baling diheret sekali, perlu turun ke ibu negara dari Kedah untuk disiasat” katanya mengenai Asri Balqis atau lebih dikenali sebagai Pak Atan yang juga  mangsa banjir yang disiasat kerana menyertai Protes #NyawaDulu baru PRU yang diadakan minggu lalu.

Menurut Syed Saddiq, Pak Atan hanya mengemukakan cadangan dan menyerahkan memorandum supaya dapat dibahaskan di Parlimen untuk tindakan susulan.

Mangsa banjir, Asri Balqis bercakap kepada media selepas memberi keterangan berikutan perhimpunan ‘Nyawa Dulu, Baru PRU’ di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2022.

Jelas beliau, suara rakyat yang kecil berani ditekan namun apabila banjir teruk yang sehingga melibatkan balak, pembalak tidak disiasat dan didakwa.

“Jangan kacau Pak Atan dan mangsa banjir yang menyuarakan pendapat mereka dengan berhemah, mereka tidak bersalah. Burulah pembalak-pembalak besar” katanya  selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini bersama sembilan peserta lain yang terlibat dalam protes itu.

Apabila ditanya jika Bersatu memutuskan untuk keluar dari komponen Perikatan Nasional (PN) adakah MUDA akan pertimbang untuk berganding bahu semula, kata Presiden MUDA itu, partinya akan mengutamakan membantu mangsa banjir dan persiapan menghadapi bencana itu.

“Kami nak fokus membantu mangsa banjir dan persiapan menghadapi bencana banjir. Segala perbincangan strategi pilihan raya datang kemudian kerana perkara terakhir yang kita mahukan adalah ketika figura politik bergaduh, rakyat merana dan hilang nyawa” katanya.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, kerajaan perlu bertanggungjawab keatas semua nyawa yang hilang.

“Tahun lepas, kita ada pengalaman lebih 50 orang meninggal. Menteri sibuk cari undi rakyat mati, rakyat akan hukum mereka” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat MUDA, Nurainie Haziqah Shafii berkata, MUDA tidak akan berhenti setakat protes pada Sabtu lalu malah ia akan berterusan.

Ahli Jawatankuasa Pusat MUDA, Nurainie Haziqah Shafii bercakap kepada media selepas memberi keterangan berikutan perhimpunan ‘Nyawa Dulu, Baru PRU’ di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2022.

Ini kerana, katanya, sehingga kini, masih tiada kenyataan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memaklumkan tindakan kerajaan setelah dua tuntutan dikeluarkan.

“Yang pertama kita minta PRU-15 ditangguhkan ke tahun depan, namun masih tiada jawapan dari mana-mana pihak kerajaan. Yang kedua, kita minta kerajaan bentangkan pelan mitigasi dan adaptasi banjir, selepas makluman MetMalaysia dan NADMA yang memberitahu banjir besar berpotensi berlaku pada November atau masa terdekat,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast