Asyraf Wajdi menyampaikan baju Pemuda BN kepada 'Mat Kilau'.

KUALA LUMPUR – Pemegang watak pahlawan Melayu, Mat Kilau, menentang penjajah akan membantu jentera pemuda Barisan Nasional (BN) dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Adi Putra yang memainkan watak Mat Kilau bersedia melapangkan masa untuk turun ke negeri terbabit membantu BN untuk memenangi PRU-15.

Asyraf Wajdi berkata demikian selepas pelakon tersebut membuat kunjungan terhadapnya.

“Banyak perkara dibincangkan termasuk cabaran mempelbagaikan pendekatan mencanai nilai patriotisme di kalangan anak-anak muda masa kini.

“Hikmah meletopnya filem Mat Kilau banyak membuka mata anak-anak muda untuk menelaah sejarah tanahair dengan penuh penghayatan,” kata Asyraf Wajdi.

Tambah beliau, Adi Putra telah dipilih sebagai ikon Pemuda BN di Selangor.

Pelakon berkenaan tidak hadir pada majlis pelancaran jentera Pemuda BN baru-baru ini kerana berada di Mekah untuk melakukan ibadah umrah.

“Insya-Allah beliau bersedia lapangkan masa untuk bantu jentera Pemuda BN di negeri-negeri menjelang PRU-15 nanti,” kata Asyraf Wajdi yang turut berkongsi foto pertemuan di media sosial.

Kelihatan Asyraf Wajdi menyampaikan baju Pemuda BN Malaysia kepada Adi Putra.

Filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof mencatatkan rekod dalam industri perfileman tempatan selepas berjaya mengutip hampir RM100 juta selepas ditayangkan di negara ini, Singapura dan Indonesia.

Walaupun mendapat kritikan selepas ditayangkan di Netflix, filem itu berada di tempat pertama di Malaysia dan lima teratas di peringkat antarabangsa.

Filem yang dilaporkan telah dibeli oleh Netflix daripada penerbitnya pada harga RM7 juta dan mula ditayangkan ke seluruh dunia pada 16 September.

Mat Kilau menduduki nombor empat dalam carta Top 10 filem paling ramai ditonton di Israel dan negara-negara teluk Arab Saudi dan Oman pada 22 September.

Menurut FlixPatrol, filem arahan sutradara Syamsul Yusof itu turut meraih kedudukan nombor empat dalam senarai Top 10 filem paling popular di Netflix beberapa buah negara lain termasuk, Jamaica, Maghribi, Nigeria, dan Romania.

Selain itu, filem tersebut menduduki carta Top 10 filem popular di Netflix Bahamas, Cyprus, Finland, Turkiye, Greece, Hong Kong, Norway, Portugal, Filipina dan Peru. – MalaysiaGazette