Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berucap pada Majlis Agihan Dana bagi Program Kesihatan Mental kepada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengadakan perbincangan dalam sesi libat urus dengan pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat berkaitan pendakwaan dan sabitan kesalahan cubaan bunuh diri.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pertemuan itu akan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan hasil kajian yang dilakukan Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan moratorium (penangguhan) dalam satu memorandum yang dihantar sebelum ini.

“Kita baharu sahaja menerima laporan hasil kajian oleh pihak AGC berkaitan cadangan decriminalisasi cubaan bunuh diri sebab saya telah bawa satu memorandum Jemaah Menteri untuk kita adakan moratorium dahulu.

“Waktu itu Jemaah Menteri kata lebih baik ada kajian daripada pihak AGC sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada moratorium atau pindaan terus kepada Kanun Keseksaan.

“Hasil kajian ini akan kita bincangkan dalam sesi libat urus dengan pihak berkepentingan seperti KDN dan juga PDRM,” katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media selepas Majlis Agihan Dana bagi Program Kesihatan Mental kepada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2022.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Agihan Dana Program Kesihatan Mental Kepada Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) di kementeriannya, di sini, hari ini.

Akhir tahun lalu, Khairy memaklumkan KKM telah menghantar memorandum berkenaan moratorium (penangguhan) terhadap pendakwaan dan sabitan kesalahan cubaan bunuh diri.

Menurutnya, memorandum tersebut memohon jemaah menteri meluluskan moratorium segera agar tiada sebarang dakwaan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan bagi kes cubaan bunuh diri sehingga pindaan atau pemansuhan seksyen tersebut dilaksanakan di Parlimen.

Mengulas lanjut, Khairy menambah, pada sesi libat urus itu, KKM akan menyemak semula Memorandum Jemaah Menteri (MJM) yang telah disediakan untuk di bawa ke Kabinet.

“Sekarang kita perlu mendapatkan pandangan polis dan KDN kerana semasa saya bawa MJM ini nampak macam KDN tidak berapa setuju.

“Jadi kita tengoklah sama ada mereka boleh dipengaruhi untuk menyokong usaha KKM ini sebab saya dengar semasa mesyuarat itu pun hujahnya tidak kukuh,” katanya.

Draf MJM adalah bagi Memohon Pemansuhan Seksyen 309 Kanun Keseksaan [Akta 574] untuk Tidak Menjenayahkan Kesalahan Cubaan Bunuh Diri bagi mendapatkan kelulusan dasar Jemaah Menteri seperti yang telah disarankan oleh pihak AGC. – MalaysiaGazette