Banjir air pasang besar mula melanda Kampung Sungai Sireh, Klang pagi ini.

KLANG – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang membuka dua Pusat Penempatan Sementara (PPS) sebagai langkah berjaga-jaga untuk memindah penduduk berikutan air pasang besar.

Bacaan paras air di dua stesen iaitu Stesen Tugu Keris dan Stesen Bandar Klang berada pada paras bahaya sehingga jam 7.15 pagi tadi.

Menurut info Pejabat Daerah Tanah Klang menerusi Facebooknya, dua PPS yang dibuka itu ialah Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Delek dan Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sireh, dekat sini.

Dua PPS itu ialah untuk mangsa banjir di Kampung Delek Baru dan Kampung Sungai Sireh Tambahan.

Tiga stesen menyukat paras air ialah Stesen Taman Sri Muda yang kini menghampiri paras amaran iaitu 4.08 meter (amaran 4.4 meter), Stesen Kampung Rantau Panjang sudah melepasi paras amaran iaitu 2.58 meter (amaran 2.4 meter) dan Stesen Kampung Perepat menghampiri paras normal iaitu 0.91 meter (normal 2.8 meter).

Orang ramai di kampung berkenaan diminta menghubungi wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau terus ke PPS berkenaan sekiranya paras air laut semakin naik.

Berikut adalah talian perhubungan Bencana Daerah Klang: PDT Klang 03-3371 6700, PDT Klang (Whatsapp 24 jam) 010-869 1067, MPK 03-3374 8845, Pantas MPK 03-3370 1095, MBSA 03-5522 2787, PDRM Klang Selatan 03-3372 2222, PDRM Klang Utara 03-3291 3344 dan PDRM Shah Alam 03-5520 2022.

Jabatan Bomba 03-3168 4444, HTAR 03-3323 9478, APM 03-3371 0816, JKM 03-3341 3703, JPS 03-3371 2464, JKR 03-3371 4040 dan PKD Klang 03-3323 9554.

Orang ramai diminta untuk bersedia dan sentiasa peka dengan keadaan alam sekeliling. – MalaysiaGazette