Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh

KUALA LUMPUR – Polis menjalankan siasatan berhubung laporan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang mendakwa hampir menjadi mangsa culik di sebuah sekolah di Banting, Selangor.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, pelajar berkenaan telah membuat laporan mengenai kejadian tersebut pada 23 September lepas.

Katanya, berdasarkan laporan pelajar itu menyatakan seorang individu berkelakuan mencurigakan keluar dari sebuah kereta semasa dia berada di sebuah perhentian bas.

“Namun dari siasatan awal ke atas laporan polis tersebut tiada sebarang cubaan culik berlaku sebagaimana yang ditularkan di media sosial,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, pihaknya turut mengesan
beberapa posting yang dimuatnaik di laman sosial
mengaitkan kejadian itu.

Tangkap layar mengenai kejadian culik membabitkan pelajar berusia 17 tahun yang tular menerusi aplikasi Whatsapp

Justeru katanya, siasatan lanjut dijalankan bagi mengesahkan kejadian sebenar.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak sahih yang boleh menggugat ketenteraman awam. – MalaysiaGazette