Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

CYBERJAYA – UMNO lebih mengutamakan keselamatan dan kepentingan rakyat daripada terburu-buru mahu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika negara diramal bakal berdepan musim tengkujuh.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, parti juga tidak pernah memutuskan untuk mengadakan PRU15 pada musim tersebut yang tidak diketahui bila akan berlaku.

Menurutnya, andaian selalu dibuat kononnya UMNO berhasrat akan mengadakan PRU waktu banjir namun semua itu tidak benar.

“Saya nak ulangi bila masa kita nak buat PRU waktu banjir? Waima UMNO berpandangan nak buat PRU sebelum bermulanya musim banjir.

“Saya nak tanya kita tahu tak bila banjir?” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan kunci rumah secara simbolik oleh kumpulan Emkay melalui anak syarikat Zen Bestari Sdn Bhd di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Eksekutif Kumpulan Emkay, Datuk Fazwinna  Mustapha Kamal.

Reezal Merican yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ditanya mengenai petisyen dalam talian yang dilancarkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membantah PRU15 ketika musim banjir.

Menurut Reezal Merican, beliau ada membaca kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi supaya PRU dibuat sebelum datangnya musim banjir namun semua itu adalah andaian.

Katanya, dalam keadaan apa pun keputusan mengenai tarikh PRU15 perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Sama ada PRU atau tidak dalam tempoh tertentu ini bergantung kepada maklumat yang perlu diperolehi dan diperincikan oleh Perdana Menteri.

“Perdana Menteri kemudian bawa perbincangan kepada Kabinet sebelum dipersembahkan kepada Agong dan diperkenan. Kalau boleh kita lapor cara elok supaya tidak ada andaian yang berbeza-beza,” tambahnya.

Sementara itu, ketika ditanya agenda serta intipati mesyuarat MKT UMNO pada Jummat ini, katanya, ia hanyalah mesyuarat biasa dan skop yang agak luas membabitkan isu-isu semasa. – MalaysiaGazette