KUALA LUMPUR – Pekerja di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak didapati antara yang terlibat dalam penjualan kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) Touch ‘n Go (TnG) menerusi dalam talian dengan kadar lima kali ganda lebih tinggi daripada harga asal.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak 11 premis merangkumi kediaman peribadi serta bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes sama.

“Individu berkenaan didapati menjual sekeping kad NFC yang asalnya berharga RM10 (tanpa ada sebarang kredit di dalamnya) pada kadar lebih lima kali ganda,  menerusi platform pasaran dalam talian,” katanya menerusi kenyataan.

Kata beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan enam notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 untuk menuntut supaya maklum balas atau penjelasan rasmi penjualan kad NFC di dalam talian.

“Kegagalan berbuat demikian, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas,” tambahnya.

Sementara itu menurut Alexander, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP dan pengurusan kanan kementerian akan mengadakan pertemuan dengan syarikat TnG pada minggu ini untuk mendapatkan status kaedah semasa penjualan dan isu kekurangan bekalan kad NFC.

Sejak April tahun ini ramai pelanggan mengadu sukar mendapatkan kad NFC berikutan bekalan yang terhad di semua saluran seperti premis stesen minyak terpilih, menerusi transaksi dalam talian atau menggunakan aplikasi TnG.

Sejak April hingga 25 September lalu, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP menerima empat aduan rasmi mengenai kad NFC, selain mengesan 13 iklan jualan membabitkan beberapa platform dalam talian. – MalaysiaGazette