Nilai keseluruhan rampasan rokok seludup termasuk cukai adalah RM2.08 juta. - Gambar FB PDRM Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Sindiket pengedaran rokok haram tumpas selepas polis memberkas empat individu sebelum merampas 1.9 juta batang rokok bernilai RM764,000 dalam dua serbuan di Seberang Perai Tengah pada Isnin lalu.

Keempat-empat lelaki warga tempatan berusia 40 hingga 55 tahun itu diberkas menerusi Ops Kontraban oleh pasukan Bahagian Siasatan Khas (D9) dan Bahagian Operasi Khas (D8) Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan dijalankan serentak terhadap premis di  Kawasan Perindustrian Ringan Permatang Tinggi dan Taman IKS Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah di sini, yang dipercayai menjadi gudang menyimpan rokok seludup.

“Siasatan mendapati kesemua yang ditahan berperanan sebagai penjaga gudang dan pemandu lori sejak setahun lalu bagi mengedar rokok seludup ke premis sekitar daerah Seberang Perai.

“Selain rokok, turut dirampas ialah empat kereta serta sebuah lori dan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK) hari ini.

Antara kenderaan yang disita pihak polis.

Nilai keseluruhan rampasan rokok seludup termasuk cukai adalah RM2.08 juta.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, siasatan mendapati sindiket itu dipercayai mendapat bekalan dari Lembah Klang sebelum dibawa ke gudang di negeri ini dengan menggunakan lori untuk diedarkan di sekitar Seberang Perai.

“Lori berkenaan dibawa sehingga antara 300 hingga 500 meter dari gudang sebelum ditinggalkan dan diambil oleh suspek bagi dihantar ke gudang.

“Dalam tempoh siasatan ini, kita mengesan sebanyak dua kali penghantaran dan penerimaan barangan berkenaan di Lembah Klang.

“Kesemua yang ditahan, direman selama 14 hari mengikut Seksyen 116C Akta Kastam 1967 dan Seksyen 136 (1)(d) Akta Kastam 1967 bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, bagi tempoh Januari hingga September lalu, sebanyak 61 serbuan dan 75 tangkapan berkaitan sindiket penyeludupan rokok tanpa cukai dilakukan Polis Pulau Pinang.

“Nilai keseluruhan membabitkannya lebih RM3 juta,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast