Muhammad Rafique Rashid Ali

KUALA LUMPUR – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim diumpamakan bagai ‘kacang lupakan kulit’ selepas mendakwa Pengerusi Pejuang Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak pernah insaf.

Peguam Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, disebabkan Mahathir,  Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berpeluang menjadi  Timbalan Perdana Menteri.

Malah pemimpih Pakatan Harapan (PH) turut merasai jawatan menteri dalam Kabinet semasa kerajaan di bawah pentadbiran Mahathir.

Muhammad Rafique menegaskan, kejatuhan Kerajaan PH bukan kerana Mahathir semata-mata, sebaliknya semua pemimpin PH patut sama-sama bertanggungjawab.

Beliau dalam ciapan di Twitter turut menuduh Anwar sebagai punca Kerajaan PH tumbang.

“Kacang lupakan kulit. Habis madu sepah dibuang. Isteri naik kerusi TPM, kawan-kawan komponen rasa jadi menteri kerana PM7.

“Apa mereka buat? Tidur? Kenapa mereka tidak salah? Kerana mereka kroni? PH jatuh kerana Anwar rakus hendak kerusi PM! Anwar yang tidak insaf,” ciap beliau yang mengulas dakwaan Presiden PKR bahawa Mahathir tidak pernah insaf.

“Mahathir kalau dia hentam saya 10 kali, saya jawab sekali. Sekarang saya akan tegas sikit kerana kawan ini, dia (Mahathir) tidak pernah nak insaf,” katanya dalam program Sembang Kencang anjuran Kelab Wartawan Kuala Lumpur dan Selangor malam tadi.

Ketua Pembangkang itu turut memberitahu, hukuman penjara yang dilaluinya turut menimbulkan kemarahan penyokong terhadap Mahathir.

Namun dendam itu reda seketika apabila Mahathir bekerjasama dengan PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Pemimpih PH juga bersetuju menamakan Mahathir sebagai Perdana Menteri tetapi dengan syarat jawatan berkenaan perlu diserahkan kepadanya sebaik saja dia keluar dari penjara.

Namun, Presiden PKR itu berkata, apa yang dirancang tidak berlaku, sebaliknya berlaku Langkah Sheraton yang turut membabitkan bekas pemimpin kanan PKR menggulingkan kerajaan PH.

“Sebab itu saya minta rakyat sokong saya kerana saya rasa, saya buat perubahan dan kebaikan, tapi kalau saya dendam, nak tendang orang, nak zalim pada orang, saya tidak setuju. Walaupun orang itu zalim kepada saya, tetapi saya tidak,” katanya.-MalaysiaGazette