Foto Facebook Kelantan FC.

KUALA LUMPUR – Di atas kertas, segalanya sudah tampak mustahil buat Kelantan FC meraih kejuaraan Liga Premier menjelang aksi terakhir apabila berdepan Kelantan United FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, esok.

Hakikat itu dikongsikan pemain tengah Kelantan, Dzulfahmi Abdul Hadi, yang kini melihat pertembungan dengan Kelantan United sebagai medan menebus maruah pasukan bagi mengakhiri saingan Liga Premier dengan noktah kemenangan.

Bukan bermaksud sudah mengangkat bendera putih tetapi dia mahu bersikap realistik memandangkan jurang jaringan yang terlalu besar dengan JDT II sekaligus membuatkan Dzulfahmi serta rakan-rakan hanya berikan fokus mahu meraih tiga mata dalam pertembungan sesama jiran setempat.

“Kejuaraan bukan lagi menjadi keutamaan kami kerana sememangnya sangat sukar memintas JDT II kerana perbezaan jaringan yang terlalu jauh selain terpaksa mengharapkan kekalahan JDT II kepada Selangor 2.

“Kami telah menerima hakikat walaupun secara matematiknya masih ada peluang dan apa yang penting sekarang, kami kena bersikap terbuka dengan apa yang terjadi sebagai pengalaman berguna pada masa akan datang.

“Bertemu Kelantan United, saya dan rakan-rakan hanya mahu mencari kemenangan demi maruah Kelantan kerana ini adalah pertembungan ‘derby’ yang menjadikan suasana perlawanan pasti berlainan.

“Pertembungan ini pasti menarik perhatian ramai peminat untuk turun ke stadium dan sudah tentu kedua-dua pasukan akan sajikan permainan terbaik bagi memenangi perlawanan,” katanya.

Kelantan perlu memadamkan defisit 11 jaringan berikutan JDT II telah meledak 37 gol berbanding Kelantan 26, dengan kedua-dua pasukan dibolosi 13 jaringan selain wajib menang ke atas Kelantan United manakala mengharapkan JDT II tewas pada perlawanan terakhir.

JDT II akan berdepan Selangor 2 pada perlawanan terakhir di Stadium UiTM, Shah Alam dan peluang tampak sangat cerah buat skuad kendalian Mariano Echeverria menjulang trofi Liga Premier.

Bakal bersaing di TM Piala Malaysia 2022, Dzulfahmi mahu menjadikan platform itu sebagai medan terbaik menaikkan semula nama The Red Warriors apabila bakal bersaing dengan pasukan-pasukan lebih besar dari Liga Super.

Tambahnya, mereka mahu memandang ke hadapan sambil tidak mahu jadikan memori pahit gagal menjulang kejuaraan Liga Premier sebagai batu halangan untuk mereka mencipta impak di TM Piala Malaysia.

“Boleh saya katakan rezeki tidak berpihak kepada Kelantan untuk bergelar juara musim ini walaupun kami mendahului carta liga pada sebahagian besar musim ini.

“Kecederaan pemain-pemain utama termasuk import jejaskan peluang kami sebaik masuk di pusingan kedua liga bagi terus konsisten meraih kemenangan.

“Sekarang fokus kami sudah banyak terarah pada kempen TM Piala Malaysia dan harapan kami boleh melangkah sekurang-kurangnya ke suku akhir.

“Ini juga peluang buat Kelantan merasai pengalaman berdepan dengan pasukan-pasukan yang lebih kuat dan sebelum kami bakal bersaing di Liga Super pada musim depan,” katanya. – MalaysiaGazette