Mohamad Hasan

REMBAU – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan berlaku pertemuan antara Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad zahid Hamidi dengan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu tidak mengetahui butiran yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin yang mewakili parti terbesar Melayu-Islam tersebut.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat berkata, pemimpin UMNO mungkin akan mengetahui perkara yang ditimbulkan oleh kedua-dua pemimpin dalam Mesyurat Kerja Tertinggi UMNO esok.

Beliau berkata, esok juga lima pemimpin tertinggi UMNO atau ‘top five‘ turut dijadual mengadakan pertemuan.

“Saya belum jumpa lagi presiden, belum ada kesempatan, dengar khabar ada pertemuan antara dua Presiden UMNO dengan Pas.

“Mungkin kami akan tahu pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, yang dijadual berlangsung esok.

“Esok ada biro politik dan ‘top five’ akan bertemu, saya rasa presiden akan menerangkan apa yang dibincangkan mereka berdua,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

Media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid dan Abdul Hadi telah melakukan pertemuan baru-baru ini.

Pertemuan itu sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa Muafakat Nasional (MN) bakal dihidupkan kembali bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, dijangkakan banyak perkara akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

“Dalam agenda saya tak ada nampak (perkara babitkan pertemuan dua pemimpin) tapi kalau ada ahli yang akan bercakap, kita akan bincangkan.

“Dalam mesyuarat MKT kita bebas membincangkan, yang kutuk presiden pun ada, UMNO ini demokratik, dalam mesyuarat tiada agenda tetap,” katanya.

Dijangka pertemuan esok turut akan membincangkan tarikh pilihan raya umum ke-15.

Media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan pertemuan lebih awal bersama lima pemimpin tertinggi UMNO berhubung tarikh PRU-15 sebelum pembentangan Bajet 2023.- MalaysiaGazette