Seorang wanita dan teman lelakinya didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah membiarkan lelaki itu memukul anak kandungnya menggunakan tali pinggang sehingga cedera tahun lalu.

MELAKA – Seorang wanita dan teman lelakinya didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah membiarkan lelaki itu memukul anak kandungnya menggunakan tali pinggang sehingga cedera tahun lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Tan Meei Yun, 30, dan teman lelakinya, Chua Wai Hon, 38, sejurus membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama seorang yang lain telah mendedahkan kanak-kanak perempuan terbabit yang ketika itu berusia lima tahun kepada bahaya sehingga menyebabkan kecederaan.

Kesalahan itu di sebuah rumah di Champor Garden City, Banda Hilir dalam daerah Melaka Tengah sekitar jam 11.30 pagi 14 Ogos tahun lalu.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku selepas kanak-kanak itu menolak adiknya yang berusia setahun kerana berebut permainan blok.

Kejadian itu kemudian dilihat tertuduh lelaki yang bertindak memukul mangsa berkali-kali menggunakan tali pinggang di tangan, belakang badan dan juga kepala sehingga berdarah dan meninggalkan kesan.

Ibu mangsa kemudian telah mengambil gunting dan diserahkan kepada teman lelakinya untuk menggunting rambut mangsa bagi menutup luka di kepala.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, B E Lim, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan tertuduh lelaki menghidap penyakit bipolar dan masih menerima rawatan hospital.

Tertuduh wanita pula hanya bekerja sebagai pelayan restoran dengan upah RM80 sehari dan perlu menanggung dua anaknya.

Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari bagaimanapun memohon hukuman berat memandangkan mangsa adalah anak kandung kepada salah seorang tertuduh.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000 dan bon berkelakuan baik serta khidmat masyarakat selama 60 jam dalam tempoh enam bulan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast