Produk tiruan terdiri daripada minyak wangi, tablet dan aksesori telefon bimbit dirampas menerusi tangkapan tiga warga asing dalam serbuan di empat premis di ibu negara semalam. Ihsan KPDNHEP KL

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur merampas minyak wangi, tablet dan aksesori telefon yang disyaki tiruan bernilai RM544,579 dalam serbuan Ops Jeriji 3.0 di ibu negara semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Nurul Syarina Md Anuar berkata, pihaknya menerima aduan daripada sebuah syarikat yang memaklumkan mengenai tempat penyimpanan untuk penjualan barangan cap dagang yang dipakai secara salah.

Kata beliau, bertindak atas maklumat itu, pihaknya melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas empat premis pada jam 1.30 tengahari dan menahan tiga lelaki warga asing.

“Pemeriksaan lanjut di dalam empat premis itu berjaya membawa kepada rampasan sebanyak 24,868 unit barang pelbagai iaitu melibatkan 13,396 minyak wangi, 408 buah tablet dan sebanyak 11,064 aksesori telefon bimbit yang kesemuanya bernilai RM544,579.

“Serbuan mendapati empat premis itu menyimpan kesemua barang tiruan itu untuk tujuan penjualan secara runcit dan dalam talian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, proses pengesahan awal telah dilakukan oleh wakil pemilik cap dagangan asal dan mendapati barangan tersebut disyaki tiruan.

Ujarnya, tiga lelaki warga asing yang ditahan itu disyaki pekerja kepada pemilik perniagaan tiruan yang dipercayai dialangi warga tempatan.

Nurul Syarina berkata, pihaknya telah membuka tiga kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019. – MalaysiaGazette