drug case police lockup escapee Perak state assemblyman drug PDRM murder case Jalan Ampang logo
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menerima tiga laporan polis cubaan menculik pelajar sekolah di tiga buah sekolah rendah di daerah Gombak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, laporan polis dibuat oleh dua wanita dan seorang lelaki pada 27 dan 28 September lalu

“Dalam ketiga-tiga laporan polis tersebut pengadu telah diberitahu oleh anak masing-masing yang berumur tujuh tahun dan dua orang berumur sembilan tahun dengan mendakwa mereka telah cuba diculik oleh lelaki yang tidak dikenali semasa berada di luar bangunan sekolah.

“Hasil siasatan terperinci yang telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gombak mendapati ketiga-tiga kejadian itu berlaku di hadapan sekolah selepas waktu persekolahan tamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, ketika insiden itu berlaku keadaan di hadapan sekolah dipenuhi bas sekolah serta kenderaan ibu bapa yang sedang menunggu untuk mengambil anak masing-masing.

Menurut Noor Ariffin, pihaknya telah mengenal pasti saksi-saksi penting melibatkan beberapa individu termasuk pengadu, rakan sekolah mangsa, pengawal keselamatan sekolah, warden lalu lintas, guru besar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG).

“Kesemua saksi berkenaan telah mengesahkan semasa disoalsiasat oleh polis bahawa tiada sebarang perlakuan kejadian (cubaan culik) sebagaimana yang dilaporkan memandang kesemua saksi ini turut berada di lokasi pada masa yang didakwa.

“Sehubungan itu, pihak IPD Gombak menasihatkan kepada orang ramai serta pengamal media supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak sahih yang boleh menggugat ketenteraman awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette