JOHOR BAHRU – Seramai tujuh individu dipercayai ahli sindiket ceti haram atau along yang melakukan khianat menyimbah cat serta ugutan jenayah terhadap mangsa yang gagal membayar pinjaman dan keluarga mereka, ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Kota Tinggi dan Iskandar Puteri, pada 14 Sept lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan bermula 9 pagi hingga 7.30 petang itu seramai tujuh warga tempatan terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 32 tahun ditahan hasil risikan dan maklumat orang awam.
Beliau berkata dalam serbuan tersebut polis turut merampas pelbagai barangan antaranya sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, 11 kad sim, empat kereta dan 12 buku salinan dokumen peminjam.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai mula beroperasi sejak Oktober tahun lalu. Modus operandi sindiket pinjaman wang tanpa lesen ini adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman di laman sosial Facebook dan pengedaran kad perniagaan pinjaman wang berlesen yang sah bagi memperdayakan mangsa.
“Kadar pinjaman yang dibenarkan adalah dari RM1,000 sehingga RM50,000 bergantung kepada dokumen peminjam manakala faedah pinjaman yang dikenakan adalah sebanyak 30 peratus dengan bayaran yang perlu dibuat adalah secara mingguan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata, sekiranya peminjam gagal membuat bayaran, sindiket tersebut akan mengugut dan seterusnya melakukan perbuatan khianat simbah cat bagi menakutkan peminjam dan keluarga supaya membayar balik wang pinjaman dengan kadar yang lebih tinggi.
Kamarul Zaman berkata, dengan penangkapan tujuh ahli sindiket trersebut, polis berjaya menyelesaikan 43 kes kejadian simbah cat, ugutan jenayah dan halangan salah di daerah Batu Pahat, Muar, Kluang, Pontian, Segamat dan wilayah Iskandar.
Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu dalam kes berlainan, polis Johor menahan enam individu warga tempatan di Taman Bukit Indah di sini petang semalam, dipercayai ahli kumpulan sindiket yang aktif membina laman web, aplikasi dan sistem bertujuan untuk menipu.
Menurutnya, kesemua yang ditahan terdiri daripada empat perempuan dan dua lelaki berusia 21 hingga 39 tahun berperanan sebagai pembangun aplikasi yang digunakan sindiket.
Beliau berkata, suspek yang ditahan mahir dalam komputer, berkelulusan ijazah tetapi mengambil kesempatan untuk menjual kepada sindiket aplikasi dan laman sesawang tersebut dan setakat ini 100 aplikasi telah dijual kepada pelanggan pada harga RM30,000.
“Buat masa ini, kita masih belum mengetahui kepada siapa aplikasi dan laman sesawang ini dijual sama ada pembeli di luar negara turut terlibat. Kita berharap untuk memperoleh tempoh reman yang panjang bagi siasatan menyeluruh dijalankan, ada beberapa perkara yang perlu kita sahkan,” katanya.
“Sindiket ini merupakan kejayaan tangkapan pertama di Johor dan kedua di negara ini dan modus operandinya adalah mangsa menerima pautan yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp dan Facebook serta Instagram dan apabila mangsa menekan link pada pautan tersebut segala maklumat data peribadi seperti nombor akaun bank, nombor kata laluan bank menyebabkan akaun bank milik mangsa dapat diakses serta di kawal oleh ‘scammer’. Wang milik mangsa dalam akaun bank akan berkurangan sedangkan kad ATM masih berada dalam simpanan mangsa,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sbat dan denda. – BERNAMA