Sim Hui Ying dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan membunuh teman lelakinya. Foto AWANI

JOHOR BAHRU – Seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh teman lelakinya, minggu lalu.

Tertuduh, Sim Hui Ying, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan majistret R. Salini namun tiada pengakuan direkodkan.

Remaja berusia 19 tahun ini didakwa membunuh dengan niat sehingga menyebabkan kematian Yap Kelly, 29, pada 20 September lalu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik hotel di Taman Mount Austin, dekat sini.

Hui Ying dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Mohammad Syafiq Sim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan tertuduh ditahan polis pada hari kejadian.

Difahamkan, remaja itu bertindak demikian kerana menolak permintaan mangsa yang mahu melakukan hubungan seks tanpa kerelaan.

Tertuduh kemudian memaklumkan hal itu kepada keluarganya sebelum membuat laporan polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast